“Prang!”terlepas gelas di tangannya. Mengucap panjang Insyierah sambil mengurut dadanya dek kerana terlalu terkejut dengan kejadian sebentar tadi. Insyierah membongkok sambil mengutip serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai. Tidak lama kemudian,Suraya muncul bersama Zailiya. Mereka datang setelah terkejut mendengar bunyi yang kuat tadi. Mereka turut membongkok kerana ingin menolong Insyierah,namun ditegah oleh gadis itu. Mereka mengeleng-gelengkan kepala sambil berjalan meninggalkan Insyierah seorang diri di dapur. Insyierah terus tunduk tanpa mengangkat kepalanya kerana takut diketahui keadaan dirinya ketika itu. Dia mengesatkan air matanya yang mula turun membasahi pipinya. Sedang dia mengutip serpihan gelas itu, malang tidak berbau apabila jarinya terluka dan berdarah. Dia segera membasuh jarinya dan terus membalut lukanya. Namun luka itu tidak sedalam luka dihatinya. Luka yang terpaksa dia telan atas takdir yang ditentukan keatasnya. Walaupun pahit dan perit untuk dia terima namun dia redha dan rela untuk segalanya. Dia yakin dengan ketentuan tersebut adalah terbaik untuk dirinya dari Pemilik dirinya.
Setelah mengemas segalanya,Insyierah terus masuk ke dalam kamarnya. Dia memeluk patung beruangnya yang selalu menjadi tempat mengadu sejak beberapa tahun ini. Dia terlalu sedih ketika ini. Hal ini semua gara-gara kerana kejadian semalam yang meninggalkan luka yang begitu mendalam di dalam hatinya. Setiap detik kejadian semalam seperti tidak mahu berganjak dari tabir mindanya sehingga menyesakkan dadanya. Air matanya turun dan terus turun tanpa diundang. Kawan karibnya akan berkahwin dengan lelaki yang paling dia cintai. Walaupun fizikalnya menafikan perasaan cintanya terhadap lelaki itu,namun batiniahnya tak mampu untuk menyangkal kenyataan yang dia sangat mencintai pria itu.
Dia tidak menolak ini semua salah dia sendiri. Lelaki itu pernah menyatakan perasaan cinta kepada dirinya namun dia menolak kerana merasakan dia cuma akan menyusahkan lelaki itu dengan masalah keluarganya yang kucar kacir. Dia meninggalkan lelaki itu bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang khabar berita dengan harapan dia dan Raziq akan terlupusnya perasaan cinta yang berbunga antara mereka. Namun dia salah perkiraan apabila bertembung dengan Raziq di sebuah kedai runcit di berdekatan di rumah kawannya di Shah Alam.
Pertemuan itu seolah-olah menguji kekuatan batiniahnya yang yakin bahawa dia sudah berjaya melupakan jejaka itu namun ternyata ianya bukan semudah memetik jari. Selepas membeli pembalut hadiah untuk diberikan Farah,sahabatnya yang sedang mengadakan majlis menyambut ulang tahun di rumahnya, dia segera menuju ke arah keretanya yang diletakkan diseberang jalan sana. Dia melintas tanpa mengambil langkah-langkah keselamatan kerana terlalu asyik mencari kunci kereta dalam beg tangannya. Tanpa dia sedari,sebuah kereta menuju kearahnya. Nasibnya baik kerana pemandu itu sempat memberhentikan keretanya tepat pada masanya tetapi bahagian hadapan kereta itu tersentuh sedikit dirinya sehingga menyebabkan dia hilang keseimbangan badan lalu menyembah bumi. Dia sedikit mengerang kesakitan kerana terluka . Kemudian kelihatan pemandu kereta Alza berwarna hitam itu turun untuk menolong. Lelaki itu mengutip barang yang bertaburan di atas jalan dan membantu Insyierah bangun. Insyierah berpaling untuk mengucapkan minta maaf dan terima kasih pada jejaka itu,namun dia sangat terkejut apabila melihat wajah lelaki itu yang persis dengan wajah yang sangat dia rindui selama ini. Tanpa dia sedari,air matanya turun membasahi pipinya mencerminkan kerinduan yang sarat terhadap wajah itu. Dia terbayang semula semua kenangan manis bersama lelaki tersebut.
Kelihatan lelaki itu turut kaget melihat wajah di hadapannya ketika itu. “Syierah” terpacul namanya di bibir lelaki itu. Insyierah yang hanyut dalam kenangan kembali sedar ke dunia yang nyata segera menjauhkan diri dan terus menuju ke kereta meninggalkan Raziq yang masih terpinga-pinga. Sebaik sampai di kereta dia segera menghidupkan kereta dan meninggalkan tempat itu dengan linangan air mata. Raziq yang mulai waras terus berlari kearah gadis yang sangat dia rindui sambil menjerit nama pemilik hatinya. Namun kereta itu terus meluncur pergi meninggalkan dia keseorangan berdiri di atas jalan raya yang menjadi saksi pertemuan pasangan kekasih yang telah lama terpisah.
Insyierah terus memandu dan memandu tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia hanya berhenti apabila pandangannya kabur dek kerana takungan air matanya sendiri. Dia menangis semahu-mahunya melepaskan segala tangisan yang dipendamkan selama ini. Dia selalu berdoa agar hari ini tidak akan tiba kerana dia tahu dia tidak akan dapat mampu mengawal emosinya apabila saat ini terjadi. Namun apakan dayanya. Dia cuma manusia biasa yang cuma bisa merancang namun bukan penentunya.
Benarlah kata orang, cinta boleh menjadi sumber kekuatan dan juga sumber kelemahan. Cintanya yang dulu memberikan kekuatan kepadanya untuk tabah menempuhi cabaran hidup yang mencabar ketahanan fizikal dan mentalnya. Namun kini kerana cinta yang sama dia kini menderita kerana terpaksa membuang perasaannya sendiri. Setiap hari dia melihat senyuman kebahagiaan di bibir sahabat-sahabatnya yang dilamun cinta terhadap pasangan masing-masing,mendengar saat-saat bahagia mereka bersama dan melihat mereka disatukan diatas pelamin sangat menguji serba sedikit semangatnya yang dibina dengan susah payahnya. Walaupun dia tersenyum dan ketawa dengan riang dihadapan rakan-rakannya namun di dalam hatinya sarat dengan kepiluan dan cemburu terhadap kegembiraan orang-orang sekelilingnya. Namun apabila dia merasa terlalu sedih, dia akan mengadu kepada patung beruang atau sujud menyembah Penciptanya.
Setelah dirinya tenang,dia memandu pulang ke rumah. Sebaik sampai di rumah dia menjalankan tugasnya sebagai seorang muslimah selepas membersihkan dirinya. Kemudian dia baring di katilnya sambil memeluk patung beruang peneman peraduan malamnya. Dia memandang syiling biliknya dengan pandangan kosong namun mindanya ligat berfikir. Tanpa dia sedari mindanya mula memainkan semula kenangan manisnya bersama Raziq. Perasaan cintanya kepada pria itu kembali hidup setelah dibunuh olehnya dengan kejam sehingga dia jatuh sakit kerana terlalu merindui lelaki itu. Gelak tawanya seolah-olah telah dibawa pergi bersama kenangan cintanya yang tidak direstui oleh takdir yang menimpa dirinya. Setiap malam dia akan menangis kepiluan kerana teringatkan lelaki itu. Selepas dia merasakan terlalu sedih,dia akan sujud pada yang Esa dan mengadu sepuas-puasnya sebelum dia tertidur di dalam sedu tangisannya dan ternyata malam ini akan menjadi seperti malam-malam sebelumnya.
Selepas beberapa minggu, dia bertembung semula dengan Raziq di sebuah restoran makanan masakan minang. Seperti biasa dia melarikan diri sebaik sahaja nampak kelibat jejaka itu namun kali ini dia tidak bernasib baik apabila Raziq lebih dahulu memegang tangannya dan membawa dirinya masuk ke dalam kereta Raziq. Semakin dia meronta,semakin kemas pegangan tangan Raziq memegang tangannya. Sepanjang perjalanan dia cuma memandang ke luar jendela tanpa memandang lelaki itu. Jika diikutkan sahaja hatinya,pasti dia mahu menatap wajah Raziq untuk melepaskan rindu cintanya pada lelaki itu, namun dia sedar akan keputusannya itu akan hanya memberi harapan kepada lelaki itu. Dia tidak mahu lelaki itu mengetahui gelora cinta yang maha hebat di dalam hatinya terhadap lelaki itu. Biarlah lelaki itu menganggap dia tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap dirinya. Itulah yang terbaik buat mereka berdua.
Dia tidak mahu lelaki itu malu dengan keadaan keluarganya. Ibunya berada di disalah sebuah hospital sakit jiwa selepas dipukul oleh seseorang ketika berjalan-jalan bersama temannya. Salah seorang adik beradiknya di penjara kerana terlibat dengan kes rompakan bank satu ketika dahulu. Tidak lupa juga dua adik perempuannya memerlukan sepenuh perhatiannya pada saat dia menyedari perasaan cinta yang semakin berbunga.Oleh kerana itu, dia membuat keputusan untuk menolak cinta Raziq dan membunuh rasa di hatinya sendiri. Dia pun pergi membawa dirinya jauh di utara negara untuk menjaga adik-adiknya dan melupakan cintanya. Dia tidak mahu perasaannya menjadi penghalang untuk dia menjalankan tugas sebagai seorang kakak walaupun adik-adiknya itu cuma saudara tirinya.
Raziq sekali-sekala mencuri wajah gadis yang pernah merubah hidupnya dan menguris hatinya. Mana mungkin dia bisa melupakan gadis yang mendorong dia agar mengubah perjalanan dan cara hidupnya dari seorang lelaki yang dunianya yang hanya berkisarkan keseronokan bersama teman-teman sahaja kepada lelaki yang bertanggungjawab terhadap hidupnya dan ahli keluarganya. Apabila gadis itu memberi dorongan dan sokongan dalam menempuhi hidup yang mencabar di kota metropolitan Kuala Lumpur,semakin hari dia makin terpaut dengan huluran perhatian dan kasih sayang dari gadis yang dia kenal sejak di bangku sekolah itu lagi. Namun di saat dia melafazkan perasaan yang sarat dengan rasa cintanya terhadap gadis itu,malah gadis itu menghilangkan diri tanpa khabar berita dan kesan sama sekali seolah-olah mereka dipisahkan dengan dunia yang lain. Namun itu semua berubah apabila dia hampir-hampir sahaja melanggar seorang gadis ketika menjawab panggilan dari abangnya. Dia seolah-olah tidak mempercayai rupa-rupanya gadis itu adalah gadis yang dicari-cari selama ini. Hari ini tidak mungkin dia mengulangi kesalahannya melepaskan gadis itu pergi lagi dari hidupnya yang merindukan kasih sayang Insyierah.
Setelah sampai di destinasi yang sesuai untuk menagih penjelasan dari gadis itu,dia memberhentikan kenderaan dan membuka pintu untuk Insyierah lalu mengajaknya ke salah satu pokok yang redup di situ. Insyierah cuma mengikutnya sahaja tanpa banyak bicara. Disitulah dua insan itu mula berbicara dari hati ke hati. Raziq memulakan bicara,
“Saya minta maaf jika tindakan saya kasar terhadap awak,tetapi yang saya inginkan hanyalah sebuah penjelasan dari awak. Kenapa awak meninggalkan saya empat tahun lepas? Kenapa selepas awak mengatakan awak suka kepada saya,awak meninggalkan saya tanpa khabar berita sedikit pun. Adakah awak ingin melarikan diri dari saya?Hina sangatkah saya di mata awak.?Syierah,jawab semua pertanyaan saya.”
“Saya memang pernah sukakan awak tetapi itu tak cukup untuk menerima awak menjadi teman istimewa saya. Saya pergi bukan untuk melarikan diri dari awak tetapi sudah keputusan saya untuk berpindah dari kawasan itu. Saya ingin menjaga nenek saya. Awak jangan salah faham. Awak lelaki yang baik. Tiada sebab untuk awak kelihatan hina di mata saya.”
“Syierah,jujur saya katakan saya masih sayangkan awak sama seperti dahulu. Tidak pernah berubah malah semakin banyak kerana saya amat rindukan kata-kata awak,senyuman manis awak dan sokongan awak yang membuat saya menjadi seperti mana saya sekarang. Tiada gadis lain yang boleh mengambil tempat awak di hati saya. Tiada Syierah, dan tidak akan ada. Sudah terhapuskah rasa awak terhadap saya?”Raziq cuba memandang ke dalam mata Insyierah dengan pandangan yang redup.Raziq yakin rasa cinta Insyierah terhadapnya walaupun beribu kali dinafikan oleh gadis itu. Disaat dia mula dapat menyelami sekeping hati dihadapannya,dengan segera Insyierah mengalihkan pandangannya ke laut yang terbentang luas di hadapannya.
“Saya cuma sukakan awak sebagai seorang kawan dan tidak lebih dari itu. Awak lelaki yang baik,pasti ramai gadis yang sukakan awak.”
“Tetapi saya cuma menginginkan awak,Syierah. Cuma awak. Tiada yang lain. ”
“Raziq buka mata hati awak. Ramai lagi gadis yang sesuai dan layak untuk awak. Tapi bukan saya. Saya cuma salah seorang kawan dan masa lalu awak. Saya harap awak mendapatkan jodoh yang baik dan terbaik untuk awak. Awak jangan lupa menjemput saya.” Hati kedua merpati itu seperti dihiris-hiris dengan perkataan yang diucapkan oleh Insyierah. Raziq memegang bahu Insyierah dan berkata,
“Insyierah,pandang mata saya dan katakan pada saya yang awak tidak ada perasaan terhadap saya sejak dulu sehingga sekarang. Tolonglah saya mohon jangan berbohong kepada saya. Jujurlah.” Raziq memandang sedalam yang mungkin ke dalam mata Insyierah dengan harapan dia akan tahu seandainya gadis itu cuba berbohong.
“Tidak. Saya tidak ada langsung perasaan terhadap awak. Saya cuma menganggap awak sebagai kawan biasa.”
Raziq melepaskan pegangannya di bahu Insyierah dengan rasa yang sangat pedih dihatinya. Tanpa segan silu, air mata jantannya turun membasahi pipinya. Hatinya seperti tidak mahu mempercayai kenyataan baru sebentar tadi sahaja diungkapkan oleh satu-satunya gadis yang dia cintai namun telinganya ketika itu masih berfungsi dengan baik. Itulah yang diucapkan oleh gadis di hadapannya. Insyierah yang tidak sanggup lagi untuk meneruskan lakonannya terus berlalu meninggalkan lelaki itu menangis. Dia tidak mungkin mengakui perasaan cintanya demi kebaikan Raziq. “Maafkan aku,Raziq. Cinta kita tidak direstui oleh takdir diriku. Relakanlah wahai kekasihku. Relakan aku pergi dari hidupmu. Semua ini aku lakukan untuk kebaikanmu.”kata Insyierah di dalam hatinya sambil mengesat air matanya.
Setelah sampai dirumah, Insyierah terus masuk ke dalam bilik. Dia terus mencapai tuala ingin membersihkan dirinya sambil menenangkan dirinya namun itu terbantut apabila Suraya memanggilnya mengatakan ada seorang tetamu untuk dirinya. Dia berjalan menuju ke pintu hadapan rumahnya. Sesampainya dia disana,dia kaget melihat Raziq dalam kehujanan. Dia terus mengambil payung di belakang pintu dan terus memayungi lelaki itu. Raziq mengeluarkan sebentuk cincin dari dalam koceknya lalu menghulurkan cincin tersebut kepada Insyierah. Dia berasa sangat terharu dan bahagia namun dia segera sedar akn kedudukan dirinya. Dia memberikan Raziq sekaki payung yang berada di tangannya ke tangan lelaki itu dan terus berlalu masuk ke dalam rumah. Raziq terduduk melihat kepergian gadis itu. Dia tidak mampu lagi untuk berdiri dibumi ini. Di mindanya terbayang-bayang senyuman dan gelak tawanya bersama gadis itu bersilih ganti dengan langkah gadis itu meninggalkan dirinya. Hatinya terasa seperti dihiris-hiriskan belati beracun. Sakitnya bukan kepalang. Kemudian secara tiba-tiba pandangannya kabur dan dia jatuh menyembah bumi di saat itu juga.
Suraya dan Zailiya melulu keluar dari rumah lalu menuju kearah lelaki itu. Mereka cuba menyedarkan lelaki itu dengan mengoncang-goncangkan bahu pria tersebut namun gagal. Kemudian tangan Zailiya singgah di dahi ternyata lelaki itu sangat panas. Suraya terus menelefon ambulans. Tidak lama kemudian ambulans datang dan membawa Raziq pergi. Suraya berasa sangat marah pada Insyierah. Dia terus melulu masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik Insyierah lalu dibuka dengan kasar.
Insyierah yang baru sahaja selesai solat terkejut dengan kehadiran Suraya yang mengejutnya. Suraya dengan marahnya berkata,
“Syierah,kau ni ada perasaan ke tak,hah? Kalau iye pun tak nak lelaki itu,janganlah dera dia sampai macam tu. Kesian kat dia sampai sakit-sakit sebab kau. Sebab kau dia pengsan sebab demam panas.”
“Bukannya aku suruh dia datang hujan-hujankan. Pandai-pandai dia je. Tanggung sendirilah. Kalau kau nak dia,ambillah. Aku sikit pun tak heran.”
Suraya mengangkat tangan ingin menampar pipi gebu Insyierah namun sempat ditahan oleh Zailiya. Dia menarik tangan Suraya keluar dari bilik Insyierah. Sebaik sahaja kedua sahabatnya keluar,Insyierah menutup lampu dan baring di atas katilnya. Dia menangis semahu-mahunya. Dia berasa sangat bersalah kepada Raziq tetapi apakan dayanya. Semua ini demi kebaikan Raziq. Setelah dia yakin teman serumahnya lena,dia membuka lampu dan sujud memohon keselamatan Raziq pada yang Esa. Hanya itulah yang mampu dia lakukan untuk Raziq. Kemudian dia tertidur dalam tangisan dengan telekung masih melekat di tubuhnya tanpa menyedari sepasang mata melihat dan mendengar setiap saat masanya berlalu di dalam bilik itu. Sepasang mata itu turut bersedih dan mengalir airnya. Mata tersebut pulang semula ke tempatnya setelah melihat sekujur tubuh Insyierah mulai tidak bergerak menandakan si pemilik tubuh sedang berehat selepas menangis begitu lama.
Selepas sebulan kejadian itu,Zailiya mengajaknya dan Suraya ke restoran untuk memperkenalkan tunangnya. Mereka semua berpelukan sambil menangis kerana bahagia kerana kini teman mereka akan mendirikan mahligai bahagia bersama kekasih hati yang dicintai. Sebaik sampai di restoran yang dijanjikan,Insyierah terkejut melihat Raziq duduk di salah sebuah meja di situ. Dia cuba melarikan diri tetapi terbantut kerana melihat wajah Zailiya yang mulai murung. Dia gagahkan diri untuk terus berjalan masuk ke dalam restoran itu. Dia semakin tidak senang duduk apabila Zailiya mengambil tempat di meja Raziq apatah lagi Zailiya duduk disebelah Raziq. Mereka kelihatan seperti sangat menyayangi antara satu sama lain. Mereka tidak ubah seperti merpati dua sejoli yakni sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta. Terasa seperti hatinya ditoreh-toreh dengan pisau belati.
Mereka semua makan dengan seleranya kecuali Insyierah yang merasakan nasi yang ditelannya seolah-olah pasir di Gurun Sahara. Hatinya makin terluka apabila melihat gelak tawa pasangan di hadapannya itu. Ternyata bukan itu sahaja kejutan yang sarat kepedihan buat dirinya apabila Raziq melutut melamar Zailiya. Mahu saja dia meninggalkan pasangan tersebut namun mengenangkan dia sudah berjanji untuk berkenalan dengan tunang Zailiya dia akur melihat adegan yang tersaji di hadapannya. Dia cuma bisa tersenyum semanis mungkin dan mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut. Kelihatan Suraya tersenyum kelat sambil mengesat air matanya. “Seandainya kau tahu,Syierah”kata Suraya dalam hati. Suraya terus memeluk Insyierah kerana tidak sanggup melihat wajah kepuraan Insyierah yang seolah-olah sangat gembira dengan berita yang baharu sahaja didengarinya.
Selepas selesai mereka santap,Suraya dan Insyierah beredar berasingan dengan Zailiya. Manakala Zailiya pulang menaiki kereta Raziq. Insyierah dan Suraya melambai-lambai dan terus pulang ke rumah. Sebaik sahaja sampai di rumah, Insyierah terus masuk ke bilik dan memadamkan lampu. Suraya yang tidak sanggup lagi menanggung rasa melihat kesedihan yang terlalu Insyierah turut menangisi apabila teringatkan cerita Zailiya. Jika bukan Zailiya memberitahu mengenai kesedihan yang terlalu yang ditanggung oleh Insyierah seorang diri,pasti dia akan tertipu akan lakonan yang mantap oleh Insyierah. Dia akui Insyierah bijak menyembunyikan kesedihan dan penderitaannya seorang diri namun Tuhan itu Maha Adil bila pada suatu hari Zailiya terbaca diarinya Insyierah yang menceritakan segala-galanya.
Dari saat bapanya meninggalkannya sejak kecil,ibu dan bapa tirinya bercerai sehinggakan pengorbanan cintanya demi menyelamatkan adik-adiknya yang hampir tersesat dalam mencari sinar kehidupan yang diredhai Tuhan. Pergorbanannya membuahkan hasil apabila adik-adik perempuannya berjaya pulang ke pangkal jalan dan menyelamatkan adik lelakinya dari terus menjadi penjenayah.
Selepas mengetahui kisah hidup tragis milik Insyierah dia nekad untuk menyatukan Insyierah dan Raziq. Dia semakin yakin Insyierah masih menyayangi Raziq setelah mendengar sendiri rintihan Insyierah sewaktu dia bangun di tengah malam sebulan yang lalu. Dia tidak mungkin salah dengar setiap bait ucapan yang sayu Insyierah menyatakan betapa dia menyayangi lelaki itu dan mahukan lelaki itu kembali sihat. Tetapi yang menyebabkan Suraya menitiskan air matanya apabila Insyierah mendoakan agar menukarkan nyawanya dengan Raziq seandainya Tuhan ingin mengambil nyawa lelaki itu dan berikanlah jodoh yang terbaik yang menyayangi selain dapat membahagiakan pria itu. Suraya tidak sampai hati melihat titisan air mata sahabatnya yang sangat dia sayangi. Jika dahulu Insyierah pernah menyelamatkan nyawanya,kini sudah tiba masanya dia membalas jasa sahabatnya itu dengan menyatukan pasangan kekasih itu yang sudah menderita sekian lama.
Selepas malam itu, dia dan Zailiya berusaha keras mencari Raziq. Setelah ditemui, mereka memujuk Raziq yang patah hati agar jangan putus asa terhadap Insyierah. Pada mulanya Raziq tidak mahu kerana tidak mahu hatinya bertambah terluka dengan penolakan cintanya yang tulus. Pada mulanya,Suraya dan Zailiya tidak mahu untuk membuka pekung di dada Insyierah namun mereka tiada pilihan lain untuk memujuk Raziq yang ternyata sudah bertekad untuk melepaskan Insyierah,jadi mereka pun membuka rahsia yang besar itu. Setelah mendengar cerita sebenar disebalik penolakan cintanya,dia menangis dan dia sanggup untuk mengikut rancangan Suraya dan Zailiya. Mula-mula mereka merancang makan malam itu untuk membuktikan semuanya dihadapan Raziq bagaimana perasaan Insyierah terhadapnya. Itu sudah berjaya menyakinkan Raziq untuk meneruskan peranannya dengan makan malam bersama sebentar tadi. Mereka akan menjalankan rancangan yang seterusnya yang akan menyatukan pasangan kekasih itu.
Insyierah terjaga dari tidur apabila terkejut mendengar ketukan di pintu biliknya. Dia menyahut panggilan namanya dan bertanya ada apa memanggil namanya. Dari luar Zailiya menyuarakan permintaannya yang menginginkan Insyierah keluar menemaninya memilih pakaian pengantinnya. Pada mulanya Insyierah tidak mahu menemani Zailiya namun dia sudah berjanji untuk membuang perasaannya ketepi untuk melihat senyuman sahabatnya. Lalu dia bersetuju untuk menemani Zailiya. Zailiya yang berada di luar tersenyum dengan Suraya. Mereka berharap rancangan ini akan berjalan dengan lancar. Rancangan ini akan menguatkan perasaan cinta antara pasangan kekasih itu. Rancangan ini akan dijalankan di sebuah butik pengantin di bandar. Zailiya dan Insyierah bertolak sebaik sahaja Insyierah bersedia untuk bertolak.
Setelah sampai di destinasi,Zailiya menyapa Raziq dengan mesra sekali dengan harapan Insyierah akan cemburu. Ianya berhasil apabila Insyierah memalingkan wajahnya ke tempat lain selepas melihat adegan itu. Zailiya meminta agar Insyierah memilih pakaian pengantinnya. Dengan rasa berat hati, Insyierah menuruti permintaan sahabatnya. Apabila Zailiya melihat Insyierah sudah sibuk dengan permintaannya,dia mulakan lakonannya. Dia mengadu sakit perut dan minta diri dari situ. Insyierah terkejut apabila berpaling dia cuma melihat Raziq dan Zailiya menghilangkan diri. Dia bertanya kepada lelaki itu tentang ketiadaan Zailiya. Raziq menjawab yang Zailiya meminta diri kerana kecemasan perempuan dan Zailiya berpesan kepadanya agar menyuruh Insyierah mencuba pakaian pengantin untuk dirinya agar Raziq dapat membuat keputusan tentang pemilihan pakaian pengantin untuk majlis perkahwinan mereka nanti. Insyierah dengan hati yang semakin terluka menunaikan permintaan sahabatnya dengan segera walaupun dia berat hati.
Raziq seolah terpukau dengan kecantikan Insyierah apabila melihat gadis itu mengayakan pakaian nikah dan persandingan. Dia semakin menyayangi gadis itu kerana selama ini dia tidak dapat melihat kecantikan sebenar gadis itu kerana gadis itu cuma bergaya ringkas sahaja. Seperti yang digariskan di dalam agama Islam yang menyuruh kaum adam memilih hawa yang memiliki agama,kecantikan,harta dan keturunan. Dia merasakan Insyierah adalah gadis yang paling sempurna yang pernah dia temui. Dia semakin yakin bahawa gadis itu adalah jodohnya apabila dia solat Istikarah untuk meminta pertunjuk dari Yang Esa mengenai jodohnya dan malam selepas itu dia bermimpikan gadis itu tersenyum kearahnya.
Insyierah berasa tidak selesa dengan pandangan Raziq yang seolah-olah menembusi tubuhnya. Dia segera meminta agar Raziq segera membuat keputusan. Setelah jejaka itu membuat keputusan, dia segera menukar kembali pakaiannya kepada yang asal. Tukang jahit di butik itu bertanya kepada Raziq pakaian tersebut mengikut ukuran siapa dan dia menjawab mengikut gadis yang menyarungkan pakaian tersebut. Insyierah terkejut dan berpaling memandang wajah Raziq untuk meminta penjelasan tetapi terbantut apabila tukang jahit itu terlebih dahulu menarik tangannya untuk mengukur badannya.
Sebaik sahaja di rumah dia masuk ke dalam rumah dengan marah kerana cemburu dengan mendengar pujian Raziq mengenai diri Zailiya. Segalanya milik Zailiya dipujinya disepanjang perjalanan. Kecantikan, kemahiran dan perhatiannya terhadap dirinya. Namun yang menguris hati Insyierah ialah pengakuan dari Raziq yang menyatakan bahawa tidak pernah ada perempuan yang memberikan perhatian yang sebegitu rupa kerana sebelum ini Insyierah dan Raziq pernah melalui saat yang sama seperti sekarang. Suraya dan Zailiya yang melihat gelagat Insyierah terus menelefon jejaka itu kerana mereka harus berjumpa untuk membuat rancangan seterusnya. Setelah kata sepakat dicapai antara mereka, kedua gadis tersebut keluar secara senyap-senyap ke tempat yang dijanjikan.
Selepas mengunci keretanya,Suraya tercari-cari kelibat Raziq. Matanya melilau ke merata-rata tempat dan pencarian yang berakhir apabila Raziq melambai-lambai dari kejauhan. Dua gadis itu berjalan terus kearah Raziq lalu mengambil tempat duduk yang disediakan. Raziq memulakan bicara,
“Banyak lagi ke rancangan yang kamu berdua rancangankan? Saya tak sampai hati untuk terus menguris hati Syierah. Hati saya seolah-olah terhiris bersama-sama hati Syierah. Saya mahu kita melaksanakan rancangan yang terakhir kamu. Seandainya tidak berjaya,saya redha. Mungkin kami tiada jodoh. Saya rela tidak bersatu………..”
“Raziq janganlah berkata begitu. Kami yang tinggal serumah dengannya lebih lagi perasaan seperti awak apabila melihat air matanya. Tetapi kami kuatkan hati demi untuk melihat senyuman diukir di bibir sahabat kami. Besok kita akan menjalankan rancangan kita yang terakhir. Dipihak awak dah bersedia? Pihak kami sudah bersedia.”
“Ya. Ibu saya setuju. Dia akan datang ke rumah awak seperti yang dirancangkan. Zailiya awak sudah bersedia?”
“Bersedia atau tidak, saya tiada pilihan lain. Saya berharap rancangan kita akan berhasil seperti yang dirancangankan. Semoga Tuhan memberkati rancangan yang kita rancangankan.”
“Hari ini kita semua harus membuat solat hajat bersama dan mendoakan agar rancangan kita berhasil seperti yang dijangkakan. InsyaAllah.”
Ketiga-tiga insan tersebut tidak mengetahui rancangan mereka akan bertukar kerana manusia cuma merancang dan Tuhanlah yang menentukan segalanya.
Di sisi diri Insyierah pula,dia sudah bersiap sedia untuk pulang ke kampungnya untuk lari daripada terus memendam rasa yang pelbagai di dalam hatinya. Dia sudah bersiap sedia segalanya apabila dia mendengar bunyi kereta Suraya masuk ke dalam perkarangan rumah sewa milik mereka bertiga. Suraya dan Zailiya terkejut apabila kepulangan mereka disambut dengan pelukan hangat dari Insyierah yang tersenyum. Insyierah mengajak mereka menonton cerita dengannya sambil meminum coklat panas bersama dengannya. Suraya dan Zailiya bersetuju kerana gembira melihat senyuman sahabat mereka. Mereka bertiga gemar meminum coklat panas semasa menonton televisyen bersama-sama. Malam itu mereka bertiga bergelak ketawa sambil menikmati minuman kegemaran mereka semua. Insyierah sengaja mengimbas kali pertama mereka bertemu dan berkawan. Pelbagai peristiwa yang mencuit hati dibangkitkan oleh Insyierah sehinggakan Suraya dan Zailiya sakit perut kerana terlalu banyak ketawa.
Setelah malam semakin larut, mereka semua masuk ke dalam bilik masing-masing. Sebelum Suraya dan Zailiya masuk ke dalam kamar mereka,Insyierah memeluk mereka dan berkata “Kamu berdualah kawanku sepanjang hayat di kandung badanku. Terima kasih atas segalanya. Aku sayang kalian sampai ke akhir hayatku”. Pada mulanya mereka agak kaget namun melihat senyuman Insyierah,mereka pun membalas pelukan sahabat mereka.Sebaik sahaja meletakkan kepala di bantal Suraya dan Zailiya terus terlena dek kerana terlalu letih tetapi tidak pada Insyierah. Dia pun meletakkan surat terakhir daripadanya kepada insan-insan yang sangat dia kasihi iaitu Suraya dan Zailiya. Setelah puas melihat biliknya buat kali terakhir, dia pun mencapai begnya dan terus keluar tanpa berpaling ke belakang lagi. Dia menghidupkan keretanya dan terus memandu ke rumah Raziq. Dia menunggu sehingga pagi untuk melihat wajah lelaki itu sebelum lelaki itu menjadi milik kawan karibnya. Dia ingin mengucapkan tahniah secara persendirian sebelum meninggalkan segalanya dan pulang ke kampung.
Seperti pagi-pagi hari minggu sebelumnya,Raziq akan bangun di awal pagi untuk bersenam dan membasuh kereta kesayangannya. Setelah dia penat bersenam dengan berbasikal mengelilingi taman perumahannya, dia pulang ke rumah untuk meneruskan rutin hariannya. “Pukul dua belas tengahari,aku kena ambil ibu.”katanya didalam hati. Namun sebaik sampai di rumah,dia terkejut melihat kereta di hadapan rumahnya. Dia seolah-olah kenal kereta itu tetapi dia tidak teringat dimana dia temui terlihat kereta itu. Insyierah keluar dari keretanya dan tersenyum pada Raziq. Dia dapat melihat wajah lelaki itu terkejut melihatnya. Dia tersenyum lalu berkata,
“Hai jaga badan? Mesti cantik gambar perkahwinan awak dengan Zailiya kan?”
“Syierah,awak………”sebelum sempat Raziq berkata apa-apa,Insyierah mencelah,
“Saya datang ke sini untuk mengucapkan setinggi tahniah untuk perkahwinan awak berdua. Saya berharap perkahwinan awak dan kawan saya yang seorang itu akan bahagia sehingga ke anak cucu. Saya…….” Raziq pula mencelah untuk menerangkan segalanya kerana hatinya tidak sedap.
“Syierah,awak jangan salah sangka. Saya sebenarnya……….”
“Saya gembira awak sudah bertemu jodoh dengan Zailiya. Dia seorang gadis yang baik. Bertuah awak dapat seorang isteri seperti dia.”
“Syierah sebenarnya saya cintakan awak. Bukan Zailiya. Kami cuma kawan biasa. Saya mahu awak bukan dia. Saya………..”
Sebelum sempat Raziq sempat menghabiskan penjelasannya,Insyierah terus menutup telinganya dan masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ dengan air matanya turun ke pipi. Raziq terus belari masuk ke dalam rumah untuk menghidupkan kereta. Dia mahu mengejar Insyierah. Dia tidak mahu kehilangan gadis itu lagi namun keretanya dihalang dengan sebuah kereta. Dia berasa sangat marah lalu keluar dari keretanya untuk meminta pemandu kereta di hadapannya mengalihkan kereta miliknya. Suraya keluar dengan tergesa-gesa kerana ingin memberitahu bahawa Insyierah melarikan diri. Namun dia terkejut melihat wajah bengis milik Raziq. Raziq memberitahu mengenai hasratnya yang ingin mengejar Insyierah. Suraya segera mengalih keretanya dan mengikuti kereta Alza hitam itu.
Zailiya yang berada di dalam kereta Suraya masih menangis sambil memegang surat nukilan Insyierah. Setiap kali membaca dia akan menangis. Sudah puas Suraya memujuk Zailiya. Dia berasa bersalah kerana merasakan dia penyebabkan Insyierah melarikan diri daripada mereka. Dia takut mereka akan gagal dalam menyatukan pasangan kekasih yang saling menyintai itu. Di dalam hatinya tidak berhenti-henti berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar. Suraya juga tidak menyangka ini akan terjadi. Mungkin dia silap perkiraan dalam merancang sehingga dia terlepas pandangan akan kejadian seperti ini akan terjadi. Didalam hatinya tidak berhenti-henti berdoa akan Tuhan akan membenarkan pasangan tersebut akan bersatu semula. Itulah harapannya dan Zailiya.
Insyierah terus memandu tanpa menyedari keretanya diikuti oleh Raziq. Airmatanya turun tanpa henti mengenang kasihnya yang tidak kesampaian. Didalam hatinya dia tidak henti-henti berdoa akan dikurniai kekuatan untuk menempuhi cubaan yang sedang dia hadapi. Semua kejadian yang dilalui akhir-akhir ini galak bermain-main di ruang mindanya seolah-olah ingin mencabar kesabaran dan ketabahan mentalnya yang sedang lemah. “Raziq berbahagia engkau dengan si dia.” katanya dalam hati sambil air matanya turun seolah-oleh tidak merestui apa yang sedang berlaku. Dia memujuk hatinya agar kuat untuk menghadapi ujian ini.
Raziq di sebelah pihak pula tidak berhenti-henti menyumpah dirinya kerana lewat menyedari kehadiran gadis itu di hadapan rumahnya. “Seandainya saja aku sedar akan kehadirannya”katanya didalam hati. Dia sangat berharap agar kali ini dia akan berjaya mendapatkan gadis itu dan bukan kehilangan cintanya. Matanya melilau mencari kereta Insyierah. Selain daripada kereta Insyierah dia akan potong kerana tidak mahu terlepas kenderaan yang mungkin saja akan memisahkan dia dan kekasih hatinya. “Aku tak mungkin sanggup kehilangan dirimu sekali lagi. Tidak sekali-kali. Cinta hatiku hanya untukmu. Ya Tuhan berkatilah kami”. Telefon bimbitnya tidak henti-henti berdering juga tidak dipedulikan kerana telalu asyik melihat pergerakan kereta Insyierah. Dia seolah-olah membuang realiti sekelilingnya. Yang hanya dia tahu, dia harus mendapatkan kekasih hatinya tanpa memikirkan apa. Namun takdir mengatakan sebaliknya.
Insyierah berhenti berehat setelah minyak di tangki keretanya mulai surut. Setelah dia selesai mengisi minyak,dia meneruskan perjalanannya untuk ke kampung. Tanpa di sedar Raziq dan teman-temannya sudah berjaya menemui keretanya. Suraya cuma menunggu peluang untuk memberhentikan Insyierah dan berbincang. Dia yakin dia dan Zailiya akan berjaya memujuk Insyierah untuk mengecapi kebahagian dirinya sendiri. Gadis itu sudah lama menderita. Biarlah kali ini dia bahagia disamping lelaki yang dia sayangi.
Takdir bukan ditangan manusia,sedang Insyierah memandu sebuah kereta Kancil memotong keretanya dan menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas ke salah satu pokok yang berada di jalan yang dilewati oleh dirinya. Raziq dan sahabatnya segera memberhentikan kereta dan berlari menuju kearah gadis itu. Raziq memecahkan cermin kereta Insyierah untuk mengeluarkan Insyierah yang sudah tidak sedarkan diri kerana kecederaan di kepalanya akibat terhentak kuat di stereng. Dengan sekuat tenaganya,Raziq menarik pintu kereta itu untuk menarik keluar gadis itu kerana tubuh gadis itu tidak boleh keluar dari cermin yang dia telah pecahkan.
Setelah Insyierah berjaya dibawa keluar, mereka terus membawa dia ke kereta Raziq kerana kereta Suraya kehabisan minyak. Di dalam perjalanan,Suraya memberitahu kepada tunangnya untuk datang mengambil keretanya. Raziq memandu seperti orang gila. Dia terlalu takut akan kenyataan yang dia akan kehilangan gadis itu. Dia pernah kehilangan sekali dan dia sudah serik untuk merasai buat kali kedua. Cukuplah sekadar sekali seumur hidup kerana kehilangan itu sangat perit untuk dia tempuhi. Tiba-tiba dia terdengar suara halus memanggil namanya. Dia kenal akan suara itu. Itulah suara cinta hatinya. Dia segera berpaling untuk melihat Insyierah.
Dengan perit, Insyierah berkata,
“Raziq….Suraya……Zailiya…aku sayang sangat kamu semua. Maafkan aku seandainya ada salah silap aku sepanjang perkenalan kita semua. Aku ini hanya manusia biasa yang banyak melakukan kesalahan. Kalau aku mati, dermakanlah organku kepada yang memerlukan. Aku mahu berbakti………..”
Kata-kata Insyierah terhenti disitu kerana dia memuntahkan darah dengan banyaknya dari mulutnya. Keadaan itu menyebabkan kedua perempuan di dalam kereta tersebut menangis. Raziq juga turun menangis mendengar ucapan itu. Namun dia berkata, “Syierah,jangan cakap macam itu, kau kena kuat. Kita dah nak sampai ke hospital. Kau akan sembuh dan kita akan berkahwin. Selepas itu kau akan melahirkan sepasang anak kembar yang comel sesuai seperti impian kau. Kau kena hidup untuk mencapai impian kau. Semua masih memerlukan kau. Kau jangan pergi dulu………” katanya terhenti apabila Insyierah menarik nafas panjang dan mulai mengucap dengan suara yang sangat halus. Semua orang yang berada di dalam kereta semakin cemas melihat keadaan Insyierah yang semakin memburuk.
Setelah sampai di hospital,Raziq segera keluar dan mendapatkan Insyierah. Dia mendukung gadis itu dan terus berlari ke dalam sambil memanggil bantuan. Tidak lama kemudian,bantuan pun sampai. Dia dan kedua gadis itu duduk dan menunggu Insyierah menerima rawatan. Setelah berberapa jam, seorang lelaki yang merawat Insyierah keluar dari bilik kecemasan. Raziq segera mendapatkan lelaki itu dan bertanyakan kondisi kekasihnya merangkap bakal isterinya. Lelaki itu memegang bahunya dan menerangkan keadaan Insyierah. Dengan tenang lelaki itu menyampaikan berita tersebut. Raziq jatuh terduduk mendengar perkhabaran yang didengarinya. Zailiya pengsan manakala Suraya merangkul Zailiya sambil menangis. Raziq mengikut lelaki itu dan dia melihat dengan mata kepala sendiri keadaan Insyierah. Dia menangis melihat sekujur tubuh yang dikasihi terbaring lesu di atas katil. Kini Insyierah bergantung hidup dengan mesin penyambung nyawa tanpanya dia akan meninggalkan dunia ini. Raziq dan Suraya masuk ke dalam bilik sambil menitiskan air mata melihat Insyierah. Lelaki itu menekan-nekan butang di setiap mesin yang berada di bilik tersebut. Dengan izin Tuhan lelaki itu berjaya membangunkan Insyierah. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku,Insyierah tersenyum kearah kedua insan yang bakal dia tinggalkan sebentar saja lagi. Itulah permintaannya sebelum dia dibedah. Jika diberi peluang,dia ingin berbicara dengan insan-insan tersebut.
“Raziq,saya mengaku yang saya sangat sayangkan awak. Tetapi kita berdua tiada jodoh. Awak mesti belajar teruskan hidup ini tanpa saya. Saya yakin awak akan bertemu dengan jodoh yang lebih baik dari saya.Suraya,mana Zailiya?”
“Dia pengsan.”
“Suraya,terima kasih atas persahabatan yang kau bagi kat aku selama ni. Nanti kau kahwin dengan Taufik,jangan gaduh-gaduh macam sekarang. Isteri mesti bertolak ansur dengan suami. Tak luaknya apa-apa. Hidup baik-baik ye.”Insyierah memluk sahabatny aitu.Kemudian Raziq mulai bersuara,
“Syierah…….”
Insyierah cuma tersenyum. Doktor tersebut berkata yang masanya sudah tiba. Dia menekan satu butang dan dengan sekali nafas Insyierah meninggalkan dunia yang fana ini didalam pelukan Suraya. Insyierah meninggal dunia pada saat mesin penyambung nyawanya dimatikan. Itulah permintaanya. Suraya menangis semahu-mahunya sambil memeluk tubuh yang sudah tiada rohnya milik Insyierah. Dia teringat semua kenangan manis dan pahit bersama arwah. Dia tidak menyangka ini akhirnya hidup seorang sahabatnya yang sangat di sayangi. Seorang sahabat yang sentiasa mengukir senyuman kepadanya dan selalu membuatkan dia tersenyum melihat gerak lakunya yang melucukan. Dia tidak mungkin akan berjumpa sahabat yang sama seperti arwah. Tidak akan ada yang lain. Di dalam hatinya cuma bisa berharap arwah akan bahagia di alam sana. Suatu hari nanti kita akan bertemu di sana, bisik hatinya.
Di sisi Raziq,dia sangat terkilan kerana saat akhir hidup Insyierah, dia banyak meyakitkan hati gadis itu. Kini dia kehilangan sebenar-benarnya cinta hatinya. Hanya doalah yang bisa dia kirimkan untuk kekasih hatinya yang telah dulu meninggalkan alam dunia yang serba fana dan mengkhayalkan. Dia berjalan keluar sambil memegang sapu tangan yang disulam dengan namanya oleh Insyierah ketika mereka masih bertemanan. Dia melihat setiap inci sapu tangan itu dengan rasa yang sangat sebak didada. Melihat sapu tangan itu, dia seperti melihat wajah gadis itu tersenyum kearahnya. Dia mengenggam hadiah itu dan meletakkan di dadanya kemudian mencium sehelai kain yang menyimpan seribu kenangan hidupnya bersama arwah. Di mindanya ligat bermainkan pelbagai peristiwa pahit manis bersama arwah. Tanpa disedari,air matanya jatuh membasahi sapu tangan tersebut. Maafkan aku,bisik hatinya.
Tidak lama kemudian, Suraya muncul untuk memberitahu sesuatu kepada Raziq. Dia memberitahu mengenai Zailiya yang jatuh sakit. Dia tidak menyangka Zailiya menghidapi sakit jantung yang agak serius dan memerlukan pemindahan jantung baru. Penyakitnya semakin parah apabila dia terkejut melihat kemalangan yang menimpa arwah Insyierah di depan matanya. Kini dia terlantar di unit rawatan rapi. Raziq mengucap panjang sambil bertanya apa yang boleh dia bantu kerana teman Insyierah juga temannya,jadi dia harus menghulurkan bantuan yang termampu. Suraya menelan air liur dan menarik nafas panjang untuk mengambil kekuatan untuk menyampaikan satu berita yang dia yakin bakal mengejutkan lelaki itu. Setelah dia yakin, dia pun membuka cerita mengenai wasiat arwah Insyierah yang ingin mendermakan organnya. Kelihatan Raziq masih dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Suraya. Gadis itu menyambung semula percakapannya. Dia menerangkan kepada jejaka itu yang penerima jantung itu adalah Zailiya. Raziq kelihatan terkejut. Ini bermakna jantung kekasih hatinya akan terus berdenyut di atas dunia ini. Raziq cuma menundukkan kepalanya.
Setelah beberapa bulan Raziq dijemput ke majlis kesyukuran Zailiya yang kini sudah berjaya dalam pembedahan jantungnya. Sebelum dia pergi ke majlis itu, dia singgah dahulu ke kebur arwah Insyierah. Itulah aktivitinya setiap minggu. Dia akan menghadiahkan bacaan ayat-ayat suci kepada arwah sebagai tanda kasihnya. Selepas itu dia akan membersihkan kawasan sekitar kemudian menyiram air mawar. Setelah selesai dengan rutin mingguannya,dia pun memandu ke Nilai,Negeri Sembilan untuk ke majlis teman arwah kekasihnya.
Sebaik sahaja sampai ke rumah yang dimaksudkan, dia mengambil buah tangan buat tuan rumah. Kemudian dia menoleh kearah rumah Zailiya. Tetapi dia terkejut melihat susuk tubuh dihadapannya. “Syierah.”bisik hatinya. Dia terus berlari kearah wanita itu. Zailiya yang merasakan bahunya disentuh terus berpaling. Dia tersenyum sambil menyapa jejaka itu tetapi dia pelik melihat air muka jejaka itu seolah-olah sangat kecewa. Dia cuma berlagak seperti tidak dapat mengesan perubahan yang ditunjukkan oleh Raziq dengan mengajaknya masuk dan berjamu selera. Dia mengiringi kekasih kepada sahabatnya. Namun dia merasakan sesuatu yang aneh didalam hatinya. Dia seolah-olah merasakan bahawa dia menyimpan perasaan rindu yang sarat terhadap lelaki itu. Tidak mungkin di mencintai lelaki itu kerana dia tidak mengenali lelaki itu begitu lama sehinggakan memungkinnya jatuh hati. Dia merasakan sudah sekian lama dia mengenali lelaki itu. Fikirannya terhenti apabila Raziq bertanyakan tentang kesihatannya ketika itu. Dia tersenyum sambil memanjatkan rasa bersyukurnya ke hadrat Penciptanya. Mereka berbual-bual sambil makan makanan yang terhidang sehingga menarik perhatian ramai orang terutama sekali Suraya dan ahli keluarga Zailiya. Suraya melihat seolah-olah mereka seperti sudah lama mengenali antara satu sama lain. Dia bahagia melihat senyuman yang terukir di bibir kedua sahabatnya. Namun perasaan aneh mula mengetuk hatinya, mungkinkah ada perasaan lain selain daripada persahabatan antara dua insan itu?
Raziq dan Zailiya semakin rapat dari hari ke hari tanpa mereka sedari. Mereka berdua seolah-olah pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta. Setiap minggu mereka akan keluar bersenam bersama-sama. Walaupun rumah Raziq agak jauh dari rumah sewa Zailiya dan Suraya namun itu tidak menjadi masalah kepadanya asalkan dia dapat bertemu dengan Zailiya. Dia merasakan seperti Insyierah hidup kembali tetapi dengan wajah dan perwatakan yang agak berbeza sedikit berbanding dahulu. Sering kali Zailiya berkelakuan seperti mana arwah Insyierah. Malahan gelak tawanya,caranya berpakaian dan seleranya sama seperti arwah. Kadang kala Raziq beranggapan bahawa Zailiya itu adalah Insyierah. Namun dia segera tersedar dan menyedari hakikat sebenar yang Insyierah sudah meninggalkannya buat selamanya. Tetapi yang bermain di fikirannya,mungkinkah dia sudah jatuh cinta pada Zailiya? Seandainya benar,apakah dia terpikat dengan diri Zailiya atau persamaan gadis itu dengan mantan kekasihnya? Itulah yang sering bermain dalam fikirannya.
Di sisi Zailiya pula,dia merasakan semakin menyayangi lelaki itu. Dia merasakan sangat suam bersama lelaki itu. Kadang kala dia terfikir adakah jantung Insyierah yang dia gunakan untuk meneruskan hidup ini mempengaruhi perasaannya terhadap lelaki itu? Kenyataan itulah yang sering mengoyahkan perasaannya. Namun dia sedar yang lelaki itu sangat mencintai arwah sahabatnya. Kini barulah dia rasakan apa yang dirasakan oleh arwah sewaktu hari-hari akhir hidupnya. Perasaan itu terlalu pedih dan sedih. Namun lamunannya terhenti apabila panggilan dari Raziq masuk ke telefon bimbitnya. Mereka berbual seperti malam-malam sebelumnya. Sebelum mengakhiri panggilan,Raziq mengajak Zailiya untuk bertemu di restoran kegemaran mereka berdua keesokkan harinya untuk makan tengahari. Zailiya bersetuju sambil tersenyum sendirian di dalam biliknya. Malam itu Zailiya tidur dengan penuh lena sambil memeluk patung beruang pemberian Raziq ketika hari jadinya. Tetapi tidak untuk Raziq. dia gelisah memikirkan apa yang mungkin akan terjadi keesokkan hari. Esok dia ingin melamar Zailiya untuk menjadi isterinya yang sah setelah yakin dengan perasaan kasihnya terhadap gadis itu tetapi adakah gadis itu bersetuju? Itulah yang menganggu gugat keberaniannya.
Seperti yang dijanjikan mereka berdua bertemu di tempat yang dijanjikan semalam. Mereka mengambil tempat duduk yang agak sunyi mengikut permintaan Raziq. Pada mulanya Zailiya pelik namun dia tidak berfikir panjang dan mengikut sahaja permintaan itu. Selepas selesai makan, Raziq menarik nafas panjang dan menyatakan keinginannya dan bertanyakan persetujuan dari pihak Zailiya. Zailiya berasa sangat terkejut bercampur bahagia. Dia cuma tersenyum dan mengangguk. Tanpa dia sedari air matanya turun membasahi pipinya. Kini dia terasa lengkap. Mereka berdua keluar meninggalkan restoran itu dengan wajah yang sarat dengan kebahagiaan. Mereka berdua memberitahu kepada keluarga masing-masing mengenai keputusan mereka untuk mendirikan rumah tangga. Seperti bulan jatuh ke riba,kedua belah keluarga bersutuju dan menyokong keputusan kedua pasangan kekasih itu. Suraya berasa sangat terkejut mendengar berita itu namun dia turut menumpang bahagia untuk kedua sahabatnya. Beberapa bulan kemudian, mereka melansungkan perkahwinan yang meriah namun sederhana. Tidak lupa juga majlis tahlil Insyierah. Suraya,Zailiya dan Raziq kini yakin bahawa takdir bukanlah ditangan manusia. Manusia cuma bisa merancang dan Tuhanlah yang akan menentukan segalanya. Jika dahulu Raziq mencintai Insyierah. Jika dahulu kasihnya yang sarat buat gadis itu namun antara mereka tiada jodoh. Sudah ditetapkan di Lohmahfuz yang Zailiya akan menjadi teman hidupnya. Jika dahulu Zailiya cuma berfikir bilakah ajal akan menjemputnya,namun kini dia masih terus bernafas di dunia ini dengan adanya jantung sahabatnya yang didermakan kepadanya. Tambahan pula kini dia mendapat seorang suami yang sangat menyayangi dirinya. Suraya pula sudah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang kenalan Insyierah yang suatu ketika dahulu diperkenalkan oleh arwah kepadanya. Mereka bertiga kini bahagia dengan hidup masing-masing. Mereka bertiga berasa sangat beruntung dipertemukan dengan arwah. Mereka menyemadikan kenangan arwah dengan membina sebuah rumah anak yatim yang dinamakan Nurul Insyierah.
Cinta mungkin sukar dicari,
Kerana cinta lahirnya dari hati,
Cinta juga mungkin sukar dimengerti,
Kerana cinta itu perhubungan antara dua hati.
Taj Mahal simbol cinta sejati,
Dari Shah Jehan kepada kekasih hati,
Cinta itu lahirnya dari hati,
Dan ia hanya akan terjadi jika Dia mengkehendaki.
No comments:
Post a Comment